Gestasi Diabetes Mellitus - Diabetes Ketika Hamil
Ramai wanita tidak menyedari mereka boleh menghidap penyakit diabetes ketika hamil walaupun pada zahirnya mereka sihat dan tidak pernah menghidap penyakit tersebut. Ini adalah disebabkan oleh kandungan hormon khusus hormon estrogen dan progesterone yang meningkat dengan begitu tinggi semasa hamil. Hormon ini mempunyai kesan terhadap metabolisme gula dalam badan seseorang. Kesan peningkatan hormon tersebut menjadikan kandungan gula dalam darah meningkat. Jika sistem perimbangan hormon tidak berjalan lancar, khususnya jika hormon insulin yang dikeluarkan tidak cukup untuk menurunkan paras gula dalam darah, maka suatu keadaan diabetes akan timbul.
Keadaan diabetes menjadi lebih buruk jika wanita itu sememangnya menghidapi kencing manis sebelum hamil dan sedang diberi rawatan secara suntikan atau diabetesnya dikawal dengan mengurangkan pengambilan gula dan kanji (dieting). Keadaan diabetes ini lebih sukar distabilkan ketika ibu hamil. Dalam kedua-dua keadaan ini, penyakit diabetes mempunyai beberapa kesan buruk khususnya terhadap bayi dalam kandungan dan jugap ada ibu yang sedang mengandung.
Sesetengah wanita mempunyai potensi untuk menghidap poenyakit diabetes ketika hamil. Ciri-ciri ini seperti berikut:
Jika ahli keluarga terdekat seperti ibu, nenek, adik beradik menghidap penyakit kencing manis, wanita itu juga mempunyai kemungkinan menghidap penyakit yang sama. Ada kemungkinan, penyakit ini timbul.
Wanita yang pernah mengalami keguguran khususnya keguguran berulang-ulang kali atau keguguran yang berlaku selepas kehamilan mencapai ke peringkat empat bulan atau lebih.
Wanita yang pernah melahirkan anak terlalu besar khususnya melebihi 10 paun.
Wanita yang pernah mengalami masalah kerumitan bayi dalam rahim atau bayi mati sebaik sahaja dilahirkan.
Wanita yang terlalu gemuk iaitu melebihi had timbangan bagi ukuran tingginya.
Wanita yang pernah melahirkan anak cacat.
Jika anda termasuk dalam golongan di atas, sebaiknya dapatkan jagaan dan pemeriksaan rapi ketika hamil supaya gejala tersebut tidak berulang dalam kehamilan berikut. Kencing manis juga boleh dikawal pada kehamilan seterusnya.
Penyakit diabetes yang tidak terkawal dan tidak stabil, boleh menimbulkan berbagai-bagai gejala kepada kandungan.
Keguguran di peringkat awal boleh berlaku dan lebih kerap terjadi di peringkat empat hingga lima bulan. Kematian bayi dalam kandungan boleh berlaku sebelum dilahirkan. Biasanya jika tidak mati dalam kandungan timbangan bayi yang dilahirkan itu lebih berat dari bayi normal. Bayi yang besar ini, boleh menimbulkan kesukaran ketika lahir. Kadangkala keadaan ini boleh menjejaskan proses kelahiran sehingga kelahiran secara normal tidak boleh berlaku dan pembedahan perlu dilakukan. Bayi yang terlalu besar akibat diabetes juga boleh menimbulkan kesulitan ketika melahirkannya secara forsep atau cara lain. Ada kemungkinan kepala bayi atau bahunya akan menimbulkan kecederaan atau kematian. Bayi yang dilahirkan oleh ibunya yang menghidap penyakit diabetes juga boleh mengalami masalah pernafasan atau kekuningan (jaundice). Jika bayi mengalami masalah pernafasan, keadaan ini bnoleh mengakibatkan kematian pada peringkat awal iaitu sejurus selepas dilahirkan.
Apakah Kesan GDM Kepada Ibu?
Seperti yang dijelaskan, wanita yang mempunyai ciri untuk menghidap penyakit ini, berkemungkinan akan mendapatnya. Proses ini dicetuskan melalui kehamilan khususnya jika ia berlaku berulang-kali. Kehamilan adalah dianggap sebagai satu keadaan yang menekan (stress) perimbangan hormon. Setiap kali kehamilan berlaku tekanan ini akan mengganggu perimbangan hormon, yang akhirnya akan mencetuskan penyakit diabetes. Penyakit kencing manis biasanya menjadi lebih terus dan tidak stabil di kalangan wanita hamil yang telah diketahui menghidap penyakit ini. Dia memerlukan ubat-ubatan atau suntikan yang lebih daripada dos biasa. Penyesuaian ubat adalah penting dilakukan dengan rapi untuk mengatasi masalah yang mungkin dialami oleh bayi dalam kandungan.
Apakah Tanda-Tanda GDM?
Biasanya penyakit kencing manis ketika hamil tidak mempunyai sebarang tanda. Oleh itu, jika wanita hamil itu mempunyai ciri-ciri seperti yang saya nyatakan tadi, penting baginya menjalani ujian air kencing. Wanita hamil perlu mendapat jagaan waktu mengandung sejak diperingkat awal. Jika dia didapati menghidap penyakit diabetes, rawatan sewajarnya boleh diberikan. Biasanya air kencing penghidap penyakit diabetes didapati mengandungi gula.Walaupun begitu, tidak semua air kencing wanita hamil yang mengandungi gula menghidap penyakit diabetes. Sesetengah mereka hanya mengalami masalah di buah pinggang. Organ tidak boleh menahan kebocoran gula daripada darahnya mengakibatkan gula keluar menerusi air kencing. Ini boleh berlaku ketika wanita itu hamil kerana mekanisme penapisan gula dalam buah pinggang menjadi lemah. Walaupun demikian ini tidak menandakan satu penyakit.
Untuk memastikan sama ada wanita hamil itu menghidap penyakit diabetes atau tidak, satu ujian khusus yang digelar glucose tolerance test (GTT) dilakukan. Ujian ini dilakukan setelah wanita itu berpuasa pada sebelah malam dan paginya. Air gula akan diberikan setelah darahnya diambil dan air kencingnya diperiksa. Kemudian contoh darah dan air kencing diambil setiap setengah jam sekali sehingga dua jam lamanya. Melalui ujian ini satu bentuk graf boleh didapati dan dari sini akan dapat ditentukan sama ada seseorang wanita itu menghidap penyakit diabetes atau tidak.
Cara Menangani Masalah Kencing Manis
Sebagai langkah pertama, wanita itu mestilah menentukan badannya tidak terlalu gemuk. Berbagai-bagai jenis penyakit boleh berlaku akibat kegemukan, khususnya ketika mengandung. Dalam hal ini setiap wanita perlu mengawasi timbang beratnya supaya sepadan dengan ukuran tingginya.
Jika seseorang wanita melebihi had timbang beratnya, dia perlu mendapat nasihat daripada pakar pemakanan mengenai bahan dan cara pemakanan yang sewajarnya. Wanita yang mempunyai ciri-ciri penyakit ini perlu sentiasa berwaspada dan mendapat nasihat doktor kemungkinan dia mendapat penyakit diabetes apabila hamil. Ketika hamil pula dia perlu mendapat jagaan dan pemeriksaan air kencing dengan secepat mungkin.
Kawalan makanan khususnya makanan yang mengandungi pula dan zat kanji seperti nasi, roti atau mi adalah sangat penting ketika mengandung. Pemakanan ini perlu dikawal dengan rapi dan tidak boleh diambil berlebihan kerana dikhuatiri akan berlaku penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sebaliknya makanan waktu hamil hendaklah mengandungi bahan atau zat protein, vitamin dan zat logam seperti besi yang terdapat dalam daging, ayam, sayur-sayuran dan bijian kacang.
Jika didapati seseorang wanita itu menghidap penyakit kencing manis, dia perlu mendapat rawatan yang rapi dari doktor pakar. Biasanya jagaan waktu hamil dan rawatan diabetes dilakukan bersama oleh pakar perbidanan dan doktor pakar perubatan. Ubat antidiabetes atau suntikan ubat insulin perlu disesuaikan dengan keadaan diabetesnya. Ini perlu pengawasan dan kawalan yang rapi supaya ia tidak melebihi atau tidak kurang daripada dos yang dikehendaki.
Biasanya ibu hamil yang mengalami diabetes, akan melahirkan anak secara normal sekiranya dia mendapat jagaan yang rapi. Andainya timbul sesuatu masalah seperti penyakit kencing manisnya tidak boleh distabilkan atau ada tanda yang menunjukkan bayi dalam kandungan terancam nyawanya, ada kemungkinan kelahiran dilakukan secara pembedahan. Keadaan ini jarang berlaku. Sebahagian besar ibu ini bersalin secara normal, walaupun ada sebilangan kecil yang perlu melahirkan anak lebih cepat menerusi induction of labour.
Penyakit diabetes tidak begitu membahayakan ibu pada keseluruhannya, tetapi ia boleh mengancam kandungan. Kadar pembaziran menerusi pengguguran zuriat dan kematian bayi adalah lebih tinggi di kalangan ibu ini. Dewasa ini kejadian penyakit diabetes semakin berleluasa kerana biasanya penghidap diabetes mempunyai jangka hayat yang normal dan mereka melahirkan anak yang berkemungkinan besar akan menghidap penyakit tersebut.
Dengan keadaan sosioekonomi lebih baik, wanita kita tidak dapat mengawal pemakanan mereka. Timbang berat melebihi had normal dan ini mendedahkan mereka kepada risiko penyakit diabetes ketika hamil.
********************************************************
Untuk Maklumat serta Sokongan berkenaan kehamilan dan gejala Gestasi Diabetes Melitus (GDM):
********************************************************
Ruangan ini diadakan hanya untuk informasi umum. Penulis tidak bertanggung jawab untuk apa-apa perubahan, kesalahan atau kelalaian dan langsung atau tidak langsung kerosakan atau kerugian apapun yang diderita secara langsung atau tidak langsung oleh setiap orang yang bergantung pada salah satu atau semua informasi, untuk tujuan apapun.
Walaupun ruangan ini mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan informasi yang tepat, saya tidak menjamin kebenaran, ketepatan, kecukupan, atau kelengkapan informasi dan bahan-bahan yang terkandung dalam atau diakses melalui ruangan blog ini.
Informasi yang diposting di sini oleh penulis tidak boleh dianggap nasihat pakar kesihatan dan bukan bertujuan untuk menggantikan konsultasi dengan pakar kesihatan yang bertauliah.
Walaupun ruangan ini mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan informasi yang tepat, saya tidak menjamin kebenaran, ketepatan, kecukupan, atau kelengkapan informasi dan bahan-bahan yang terkandung dalam atau diakses melalui ruangan blog ini.
Informasi yang diposting di sini oleh penulis tidak boleh dianggap nasihat pakar kesihatan dan bukan bertujuan untuk menggantikan konsultasi dengan pakar kesihatan yang bertauliah.
assalamualaikum, sy pn dh di diagnose GDM, skang ni preggie dh masuk 6 bln, dlm ms 2 mnggu berat naik 2kg. Susahnye nk kawal mkn sbb sy x de alahan lgsung. Anyway, thanks for the info.. :)
ReplyDelete