Friday, January 22, 2010

Petikan Warkah Syed Hussein Alattas

Petikan dari Warkah Syed Hussein Alattas 27 Januari 1987

Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat mengasihani segala puji bagi Allah dan Selawat ke atas junjungan Nabi besar Muhammad SAW serta kaum keluarga dan sahabat-sahabatnya.

KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA ALMUTAWAKIL ALALLAH SULTAN MAHLOOD ISKANDAR AL-HAJ IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL, YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA.

Tiadalah aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah kepadaKu.
(Az-Zaariyaat : 56)

Demikianlah, seperti yang Tuanku lebih maklum, kita sekalian yang bernama manusia di atas planet bumi ini, baik kita itu miskin mahupun kita itu kaya, baik kita itu sihat dan senang mahupun kita itu sakit dan susah, baik kita itu kulitnya berwarna putih mahupun kita itu kulitnya berwarna hitam, kita semuanya telah jadi kerana dijadikan oleh Allah Subhanahu-wa-Taala, bukan dijadikan oleh apa­apa yang lain selain daripadaNya, dan kita semua telah dijadikan supaya kita menyembah Allah Yang Maha Esa, bukan menyembah apa-apa yang lain selain daripadaNya.

Tuanku sedia maklum akan kejadian dan sifat manusia yang selalu alpa dan lalai akan diri mereka, maka kerana itu terjadilah bermacam -macam kejadian di atas bumi negara tercinta kita ini, yang mendorong saya menukilkan bingkisan yang tidak sepertinya ini teristimewa untuk Tuanku, raja saya dan raja setiap orang yang mengaku atau mahu mengaku negara ini sebagai negara mereka. Tuankulah raja kami.

Bersyukurlah saya kepada Tuhan kerana saya telah dilahirkan di negeri yang sama di mana Tuanku dilahirkan dan di mana Tuanku menjadi Raja sebelum ditabalkan menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia. Bersyukurlah saya kerana Tuankulah raja yang pertama tidak mahu disembah oleh rakyat, kerana Tuanku arnat arif bahawa yang berhak disembah hanyalah Allah Yang Maha Besar. Setelah Tuanku ditabalkan menjadi Sultan Johor dahulu, Tuanku telah menaiki mimbar Masjid Abu Bakar Johor dan menyampaikan khutbah Jumaat.

Saya kebetulan berada dalam masjid itu. Saya tidak terperanjat, tetapi saya bersyukur kerana diizinkan Allah berada dalam masjid itu untuk menyaksikan seorang Raja Melayu yang sungguh berani kembali mengambil tanggungjawab menjadi Ketua Agama. Hati kecil saya berdoa agar kejadian di hari yang bersejarah itu benar-benar akan memulakan satu sejarah baru bagi negara ini.

No comments:

Post a Comment