Teruja saya melihat rakan-rakan berbahasa penuh semalam. Terasa kecil sungguh diri kerana jarang-jarang sekali saya berbahasa melayu sepenuhnya. Terasa seolah-olah saya sudah tidak fasih berfikir lagi dalam bahasa ibunda yang sepatutnya disanjung.
Sopan.
Setiap bait-bait dan baris-baris kata yang disusun rapi, sungguh indah dan sopan. Seolah-olah kami kembali ke zaman Tuah. Seolah-olah keanggunan kami teserlah dan sifat keibuan kami memancar.
Gagap.
Gagap benak fikiran memikirkan kata-kata dan ayat yang harus di susun. Kerana saya sudah lama tidak menulis dalam bahasa melayu sedangkan bonda saya seorang yang setanding Azah Aziz atau Dr Nik Safiah Karim. Seperti yang Sharifah Amani pernah berkata "I sound stupid when I speak in Malay"
Kenapa?
Ayah bilang, kalau sudah jadi graduan TESL hanya langit sahaja yang mampu menghalang saya untuk jadi apa sahaja. Tapi sekarang, sebaliknya. Manusia kan cepat lupa...
Kalau dahulu, saya gah mencari baju jenama untuk anak-anak. Kenapa tiba-tiba saya rasa terharu dengan Orked dan baju kurung kapasnya? Kenapa saya rasa diri kerdil sangat jika dibandingkan dengan kemampuan bonda menikam leher dengan tulang belut atau mata lalat atau sebat yang halus pada kain baju kurung yang dipakai semasa di Maktab Perguruan Durian Daun dahulu?
Kenapa hati memanggil-manggil untuk menjadi sirih yang pulang?
Saya teringat malam sebelum pernikahan saya. Abah paksa menjahit sepersalinan samping songket untuk bakal suami saya. Abah kata ini adat dan saya bertuah kerana tidak disuruh menjahit sepasang baju melayu juga. Mati kutu saya dibuatnya. Abah larang pakai mesin jahit. Aduh! bagai nak runtuh dunia.
Saya teringat pagi raya. Abah, pakcik-pakcik atau sepupu-sepupu lelaki saya akan bergegas memakai samping songket ke masjid. Saya pandang Bonda menyusun "kaki" dan "kepala" dengan sebelah mata sahaja. Penghabisannya, sepuluh tahun selepas itu Bonda tertawa melihat saya memasang samping songket pada suami saya. Malu saya.
Saya teringat buku-buku yang Bonda ada. Kamus Dewan. Teringat teka silang kata Utusan yang Bonda simpan. Terasa cetek sungguh "kamus" di benak...
Saya teringat apam gula hangus Bonda. Lempeng Kelapa. Rempeyek. Urap. Pais Ikan. Kini saya rasa pizza dan muffin saya tak setanding kesemuanya.
Saya teringat saya tak pandai duduk bersimpuh. Makan menadah pinggan. Kain batik terjelir lidah. Makan jamu dan air akar bakawali pun terjelir lidah juga. Saya lebih suka Mango Tango :P
Kemudian A'aesyah lahir. Saya tak gah pun memberi nama-nama yang fofuler. Saya jadi tertarik pada nama klasik. Mungkin kalau ada rezeki, saya nak tambah Ainon Mawar atau Adam Mokhtar...ah! jeling lagi suami saya nanti. "Tak sudah menjadi jenin" katanya.
A'aesyah gemarnya makan nasi bersuap. Lauk sayur bening dan air kosong. Tidurnya hendak didodoi dengan "Ayah dan Ibu" atau lagu-lagu setanding dengannya.
Betullah kata Tuah..."Takkan hilang melayu di dunia"
notakaki : saya melayan ghazal di YouTube sambil menikam leher baju kurung A'aesyah ;)
wahhh sedapnya suara pn marfoa' nyanyi :)
ReplyDeleteakak tolong kirim kan salam rindu saya pada nya ye :)
nama saya sity nurul asyadha student marian convent thn 1986-2001